INAI
masih merah di jari, isteri dah lari. Kami sempat duduk serumah selama
20 hari tetapi kalau diikutkan, saya hanya dapat bersamanya 10 hari.
Bulan madu saya pun tidak seperti orang lain.
Mulanya
rancangan diatur untuk pergi berbulan madu ke destinasi lebih jauh dan
romantik tetapi kerana keadaan kami tidak seperti pasangan pengantin
baru yang lain, kami rancang untuk pergi ke Koh Samui, Bangkok dan Bali
saja. Itupun, apabila sampai di Koh Samui, dia dah ‘lari’. Katanya, dia
hendak ke Bangkok seorang diri.
Saya
dah letih hendak memikirkan apa berlaku antara saya dan dia. Perasaan
saya bercampur baur. Semakin lama dia pergi, semakin jauh. Dia ada anak
angkat dan dia lebih suka tidur bersama anak angkatnya daripada melayan
suaminya.
Saya
dah tak kuasa hendak menyembunyikan perkara sebenar kerana semua orang
dah tahu. Kalau ikutkan hati, hendak jadi apa pun jadilah, tetapi bila
memikirkan anak kami yang sedang dikandungnya, hati saya jadi sebak,
pilu dan sedih. Apa hendak jadi dengan saya, ada isteri macam tak ada
isteri.
Dia
sempat bermalam di rumah saya di Putra Heights, semalam saja. Apabila
dia mahu duduk bersama saya, alangkah gembira rasa hati kerana dalam
angan-angan saya dapatlah kami hidup bahagia seperti orang lain.
Di
rumah itu semua saya sediakan, bahkan makan minum pun saya yang
buatkan. Kain baju, saya hantar dobi. Dia tak perlu buat apa-apa dan
saya tak kisah asalkan dia gembira. Bangun pagi, sarapan sudah
terhidang. Namun, dia lari juga dari saya. Apa lagi perlu saya buat
untuk menambat hatinya, bingung jadinya.
Sejak
dia keluar rumah dan tak balik lagi, setiap hari saya menunggunya.
Apabila terdengar kereta berhenti depan rumah, pantas tangan menyelak
langsir, manalah tahu kalau dia yang balik. Berbulan saya menunggu
tetapi hampa belaka. Dah kering air mata mengenangkan keadaan rumah
tangga kami.
Saya
tahu dia mengandung pun daripada orang lain dan wartawan yang bertanya
kepada saya. Hancurnya hati, sebagai suami saya tak tahu apa-apa
mengenai isteri. Orang lain lebih tahu daripada saya.
Sudah
bermacam cara saya buat untuk mengambil hatinya, tetapi dia tetap tak
mahu berjumpa saya. Kalau orang lain bahagia berkahwin, tetapi saya pula
hanya mendapat malu dan sengsara. Saya tidak pernah berniat menumpang
hartanya atau keluarganya, cuma mengharapkan sebuah rumah tangga yang
bahagia.
Sebelum
berkahwin, saya tidak pernah membenarkan mana-mana media mengambil
gambar rumah, tetapi selepas berkahwin saya terpaksa melakukannya untuk
membuktikan saya memang mampu menyara hidup kami berdua. Saya tidak
mengambil sesen pun harta keluarganya.
Sebaik
saja tahu dia mengandung, teringin benar hati ini untuk menjaganya,
membawanya menjalani pemeriksaan di klinik dan melihat gambar imbasan
bayi kami. Namun, saya tak merasa itu semua.
Saya
ini bapanya, tetapi tiada apa yang dapat saya lakukan. Saya hanya boleh
membayangkan saat-saat indah itu. Saya juga tak tahu bila dia hendak
bersalin, khabarnya dalam sehari dua ini. Meronta hati ini untuk
mengetahui jantina bayi itu.
Sebagai
menyambut kehadiran orang baru itu, saya membeli peralatan bayi. Saya
melihat dan membeleknya setiap hari, semakin saya memandangnya, terasa
sangat sedih. Kasihan si kecil itu. Sebaik saja mendengar tangisannya
nanti, saya mahu mengazankannya tetapi adakah saya akan dapat peluang
itu. Saya mahu menjaganya kerana saya tahu, saya boleh menjadi bapa yang
baik.
gambar anak yang baru lahir sebagai hiasan
anak2 penambah seri rumahtangga dan pengikat kasih sayang
bau anak yang baru lahir umpama bau harum dari syurga..masyaAllah
Pada
awal kehamilannya, ibu mentua saya berjanji mahu menyerahkan bayi itu
kepada saya tetapi sekarang rentak percakapannya sudah lain. Sudah
terlalu banyak mereka menabur janji, saya tak tahu janji mana satu yang
betul.
Saya
serahkan segala-galanya pada Allah SWT. Bagaimana dan macam mana rupa
bayi itu, saya mahu menjaganya dengan sepenuh kasih sayang.
Saya
tak tahu dia ini macam mana orangnya, macam tak ada hati perut. Ke
manakah pergi kewarasannya sebagai manusia. Dia lebih pentingkan
kawannya daripada suami. Setiap orang ada kisah silam dan saya pun bukan
orang yang sempurna.
Lupakanlah
cerita lama dan bina hidup baru. Rupa-rupanya itu cuma harapan dan
impian saya seorang, sedangkan ingatan dan fikirannya entah ke mana.
Ingatkan selepas berkahwin, dapatlah lebih mengenali hati budi isteri
tetapi kami semakin terpisah jauh.
Ketika
mula mengandung dulu, alasan berjauhan dari saya kononnya tidak tahan
bau badan suami. Alahan orang mengandung. Saya terima, tetapi sampai
berapa lama. Orang lain mengandung juga, kalau tak tahan bau badan pun,
setakat berpisah bilik namun masih tinggal sebumbung.
Dengan
sekian banyak alasan, saya dah muak mendengarnya. Selepas bersalin
nanti, entah apa pula alasan diciptanya. Ada juga saya dengar, selepas
bersalin dia mahu membawa anak kami lari ke luar negara. Aduhai hati…
sudah terlalu lama ‘engkau’ menderita. Bilakah akan berakhir.
Dalam
kegelisahan dan kehampaan ini, tiada tempat hendak mengadu. Sejak
kecil, emak dan ayah sudah pergi menghadap illahi. Hanya kepada Allah
SWT saya serahkan segala-galanya. Dia ke umrah bersama keluarganya pun
tidak minta izin saya.
Apapun,
saya tetap mendoakan kebaikan untuknya dan dengan harapan tinggi
menggunung moga kelahiran bayi itu nanti akan menyatukan kami semula.
Bersama
sekeping hati yang duka, saya pergi mengerjakan umrah baru-baru ini.
Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya memberi ketenangan dan
kekuatan untuk menempuh hidup ini.
Alhamdulillah,
sekembalinya dari Tanah Suci, saya rasa tenteram dan tidak lagi
terikut-ikut kata hati. Saya akan lalui saja apa yang ditetapkan oleh
Yang Maha Esa. Untuk mendapatkan kekuatan, saya baca buku motivasi dan
agama.
Sesungguhnya
sebagai isteri, tidak sukar untuk mencari keredaan Allah. Nabi Muhammad
SAW pernah bersabda: “Seorang perempuan yang menegakkan solat lima
waktu, berpuasa pada Ramadan dan mematuhi suaminya akan memasuki syurga
melalui pintu mana saja dia suka.” Andai kata dia mahu kembali kepada
saya, saya sedia memaafkannya dan menerimanya. Saya mahu bayi yang bakal
lahir itu mempunyai keluarga sempurna.
Imbas
kembali detik melalui tempoh pertunangan, pernikahan dan malam pertama,
sebaknya hati tidak terkata. Sepanjang tempoh pertunangan pun, dia tak
mahu rapat dengan saya. Ada saja yang tak kena.
Dua
minggu sebelum berlangsungnya kenduri dan majlis persandingan, kami
ambil gambar praperkahwinan di Cameron Highlands, itu pun dah kecoh.
Oleh
kerana jodoh kami kuat, kami bernikah juga. Selepas itu pun, banyak
benda yang merepek-repek dan huru-hara jadinya. Tiba malam hendak
bersanding, dia tetap dengan perangainya.
Jika
orang lain naik pelamin dengan wajah ceria, saya rasa biasa saja. Malam
pertama, pasangan pengantin baru diulit bahagia, saya pula lain
ceritanya.
Jika
dia tak mahu juga berubah dan masih tidak dapat menerima saya sebagai
suami, tunggulah kes di mahkamah nanti. Kalau boleh, saya tak mahu
masalah kami dibawa ke mahkamah kerana akan mengundang aib, tetapi saya
terpaksa melakukannya kerana perlu pertahankan hak saya.
Peliknya,
dia berkahwin dengan saya bukan kerana dipaksa keluarga tetapi atas
kemahuannya sendiri. Pada hari jadinya tahun lalu, apabila ditanya ibu
bapanya, dia mahu hadiah apa, katanya dia hendak berkahwin dan ciri
lelaki yang diidamkannya adalah saya. Kami pernah berjumpa lima tahun
lalu dan pernah mengambil gambar bersama.
Kebetulan
ketika ibunya datang berjumpa saya, saya masih solo dan segala-galanya
diatur untuk menjodohkan kami berdua. Entahlah, saya tak tahu hendak
kata apa lagi. Agaknya kerana saya penyabar, Allah SWT berikan saya
ujian ini.
Sesungguhnya
Allah SWT berikan ujian itu mengikut tahap kemampuan hamba-Nya. Jika
itulah ketentuan hidup saya, moga Allah SWT kuatkan iman dan hati ini
untuk menghadapinya.
Saya
tak suka hendak bercerai-berai, tambahan saya artis. Nanti masyarakat
ingat, artis ini tak ada kerja lain, asyik bercerai saja. Apabila orang
dah tahu kisah rumah tangga saya, hendak keluar rumah pun malu dengan
jiran tetangga.
Apabila
kawan datang ke rumah ajak keluar makan, baru saya keluar. Beratnya
tanggungan ini. Hanya Allah SWT yang mengerti derita saya.”
No comments:
Post a Comment